Biarpun dijangka akan dilancarkan pada awal tahun hadapan namun, imej awal Vivo X100 Pro + dilaporkan telahpun tertiris. Melalui imej awal tersebut telah memperlihatkan beberapa maklumat mengenai Vivo X100 Pro +.
Imej awal tersebut memperlihatkan sebuah peranti dengan kemasan berwarna hitam yang membawakan reka bentuk seperti siri Vivo X80. Yang mana, jenis skrin, kemasan dan bahan binaan yang akan digunakan dilihat sama seperti siri X80 dan bukannya berasaskan kepada rekaan dari siri X90.
Namun, terdapat sedikit perbezaan pada rekaan modul kamera, menggunakan rekaan jenis bulat yang digabungkan dengan satu lagi kemasan berbeza. Penjenamaan Zeiss dan T* juga dapat dilihat, menandakan keupayaan kamera peranti ini masih lagi ditala dari Zeiss.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengenai tetapan kamera yang akan digunakan, masih menggunakan sensor kamera 1-inci atau sebaliknya. Siri Vivo X100 dijangka akan hadir dengan tiga pilihan varian iaitu Vivo X100, X100 Pro dan X100 Pro +. Untuk model paling premium ia dijangka akan dijana cip Snapdragon 8 Gen 3, sementara dua lagi akan dijana cip Dimensity 9300.