Konsol yang sedang mencipta sensasi iaitu ASUS ROG Ally akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan melalui acara khas yang berlangsung secara atas talian. Acara tersebut turut berkongsi beberapa maklumat seperti penawaran harga, promosi dan ketersediaan.
Tidak seperti pasaran lain, ASUS Malaysia hanya menawarkan satu pilihan varian sahaja iaitu dengan cip AMD Ryzen Z1 Extreme. Untuk spesifikasi, ASUS ROG Ally hadir dengan skrin IPS FHD+ bersaiz 7-inci yang menyokong paparan 120Hz, kecerahan puncak 500 nits, 7ms tindak balas dan waran gamut sRGB. Peranti skrin ini turut dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus. ROG Ally ini hanya seberat 608g dan hadir dengan rekaan ergonomik.
ASUS ROG Ally ini dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 512GB PCIe Gen 4. Untuk pretasi grafik, konsol ini hadir dengan GPU RDNA 2 yang mampu menghasilkan grafik 8.6 teraflops.
Bateri 40Wh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 65W. Untuk kawalan, ia hadir dengan D-pad, butang analog, ABXY, butang trigger dan beberapa butang makro tambahan.
Menjalankan sistem operasi Windows 11 bersama aplikasi Armory Crate SE yang digunakan untuk menjalankan semua permainan PC pada ROG Ally. Konsol mudah alih ini turut menyokong sambungan ROG XG Mobile eGPU yang membolehkan ia disambungkan kepada televisyen untuk bermain sewaktu ROG Ally dicas.