OPPO Malaysia secara rasmi berkongsi tarikh pelancaran untuk peranti baharu mereka yang seterusnya untuk pasaran tempatan. Melalui perkongsian terbaru, OPPO Malaysia telah menjadualkan acara pelancaran bagi siri OPPO Reno10 yang akan berlangsung pada 10 Julai ini.
Sebelum ini, OPPO telahpun berkongsi maklumat melalui Facebook rasmi mereka, memperlihatkan tiga peranti dengan pilihan warna yang berbeza. Sekaligus, memberikan bayangan yang siri OPPO Reno10 akan ditawarkan dalam tiga pilihan varian iaitu OPPO Reno10 5G, OPPO Reno10 Pro 5G dan OPPO Reno10 Pro+ 5G.
Selain itu, dapat dilihat salah satu dari peranti tersebut tampil dengan rekaan kamera yang berbeza, sensor yang lebih besar bersama penjenamaan Marisilicon. Peranti dengan rekaan kamera berbeza tersebut berkemungkinan adalah peranti paling premium untuk siri OPPO Reno10.
Untuk spesifikasi dalaman, buat masa ini hanya OPPO Reno 10 Pro + sahaja yang telah didedahkan, menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1. Manakala, untuk dua lagi model masih menjadi rahsia. Maklumat yang lebih terperinci mengenai peranti ini dijangka akan didedahkan menjelang hari pelancarannya. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.