Close

Tesla Model 3 “facelift” diumumkan – Rekaan luaran dan dalaman diberi nafas baharu


Seiring dengan pembukaan pra-tempahan Tesla Model 3 di Malaysia. Tesla turut mengumumkan kemas kini untuk model tersebut dengan memperkenalkan Model 3 (2024).


Tesla Model 3 (2024) ini turut dikenali sebagai “Project Highland” dengan membawakan 50% perubahan komponen berbanding versi awal.




Untuk bahagian dalaman, Tesla telah mereka bentuk semula papan pemuka dengan penambahan elemen lampu ambien bersepadu. Rekaan kabin juga kini lebih minimalis dan menggunakan bahan binaan yang lebih berkualiti tinggi. Bahagian kabin kini lebih senyap dengan penambahan lebih banyak kaca akustik dan bahan serap bunyi yang mengurangkan bunyi jalan raya.


Rekaan konsol tengah juga ditambah baik yang kini menyokong dua tempat pengecasan dan mempunyai 17 pembesar suara berbanding 14 pada versi awal. Kemasan kulit tiruan kini merangkumi semua kawasan kabin dan tempat duduk hadapan kini mempunyai keupayaan ventilasi yang tersedia secara standard.


Skrin infotainment utama juga kini hadir dengan bingkai yang lebih nipis iaitu 15.4-inci berbanding sebelum ini 15-inci. Skrin sentuh 8-inci kini tersedia untuk penumpang belakang yang membolehkan penumpang mengakses pelbagai kawalan dan hiburan.

Rekaan luaran turut diberi nafas baharu yang di inspirasikan dari model Roadster. Bampar hadapan kini lebih minimal dan lebih menarik tiada lagi lampu kabus. Manakala, bampar belakang kini menggunakan rekaan seperti Model Y dan mempunyai lampu kabus.

Lampu LED hadapan kini lebih nipis dan lampu siang menggunakan rekaan berbentuk C yang diletakkan secara condong. Lampu siang belakang turut menggunakan rekaan berbentuk C yang lebih tajam yang diletakkan dalam satu bahagian.

Paling menarik, ia kini hadir dengan rekaan rim baharu yang tersedia dalam dua pilihan iaitu 18-inci Photon dan 19-inci Nova . Selain itu, ia turut hadir dengan dua pilihan warna baharu iaitu Ultra Red dan Stealth Grey. Masih menggunakan kapasiti bateri yang sama tetapi, lebih 8% lebih efisien.

Tesla menyatakan, rekaan baharu ini menawarkan peningkatan kecekapan aerodinamik sebanyak 8% berbanding versi awal. Tesla Model 3 (2024) ini boleh dipra-tempah di Malaysia dengan penghantaran dijangka bermula pada penghujung 2023.



ARTIKEL BERKAITAN