WhatsApp hari ini telah mengumumkan satu lagi fungsi baharu untuk aplikasi mereka iaitu Flows. Fungsi ini memfokuskan kepada pengalaman membeli-belah yang lebih baik untuk pengguna dan peniaga.
Flows membolehkan pengguna untuk melakukan pelbagai perkara yang berkaitan dengan perniagaan atau beli-belah seperti mengisi borang, tempahan temujanji, tempahan tiket penerbangan, penyesuaian produk dan lain-lain. Lebih menarik, fungsi Flows ini boleh dilakukan tanpa perlu keluar dari aplikasi WhatsApp.
Fungsi Flows ini masih lagi dalam fasa percubaan dan telah diintergrasikan kepada beberapa syarikat untuk tujuan tersebut. Antara syarikat yang berkerjasama untuk menguji fungsi tersebut adalah seperti Lenovo, redBus dan juga bank SBI.
Buat masa ini, WhatsApp belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai ketersediaan fungsi ini untuk pengguna global. Kita mungkin boleh menjangkakan yang fungsi ini mungkin akan tersedia dalam beberapa bulan akan datang.