Berhubung dengan caj DuitNow QR yang akan mula dikenakan bermula 1 November ini oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan dengan caj tersebut.
Menurut BNM, caj tersebut adalah untuk menampung kos penyelenggaraan dan pengurusan perkhidmatan yang merangkumi pelbagai aspek seperti keselamatan dan kawalan pencegahan dari penipuan. Selain itu, tiada sebarang caj tambahan yang akan dikenakan kepada individu apabila menggunakan DuitNow QR.
Manakala untuk peniaga, caj DuitNow QR akan dikenakan pada kadar sama rendah atau lebih rendah berbanding caj yang dikenakan untuk pembayaran melalui kad debit.
Dalam pada itu, BNM turut menyatakan bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan yang menguruskan 75% perniagaan melalui pembayaran DuitNow QR akan mengecualikan perniagaan mikro dan kecil dari dikenakan caj transaksi Duit Now QR. Langkah ini akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil menggunakan DuitNow QR pada kos sifar.
Walaubagaimanapun, BNM tidak mendedahkan makluamt lebih lanjut mengenai senarai bank dan penyedia perkhidmatan kewangan yang akan mengecualikan caj DuitNow QR untuk perniagaan mikro dan kecil. Pada ketika ini, terdapat tiga bank yang tidak akan mengenakan caj DuitNow QR iaitu Public Bank, Maybank dan CIMB.