Seperti yang kita tahu, HONOR bakal memperkenalkan fon lipat baru mereka pada 4 Jun ini. Seiring dengan itu, HONOR telahpun membuka pra-tempahan untuk Magic V6.

HONOR Magic V6 boleh dipra-tempah bermula 26 Mei hingga 3 Jun 2026 dengan deposit RM300. Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah misteri bernilai sehingga RM3797 di samping hadiah eksklusif HONON Magic Pen bernilai RM499. Bagi yang berminat, tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi HONOR.

Walau bagaimanapun, harga jualan rasmi untuk peranti masih belum lagi diketahui. HONOR Magic V6 bakal hadir dengan pilihan warna baru Ferghana Red untuk menjadikan ia lebih premium. Lebih menarik, peranti ini menjanjikan ketahanan engsel yang lebih baik mampu menunda pesawat Diamond DA42 seberat 1.25 tan sejauh 150 meter tanpa sebarang kerosakan fizikal.

Ketahanan ini disokong oleh Engsel Keluli Super HONOR yang menawarkan kekuatan tegangan industri sehingga 2,800 MPa dan telah melepasi ujian 500,000 kali lipatan. HONOR Magic V6 dibina untuk pengguna yang mahukan fon lipat lasak dalam masa yang sama masih mampu memberikan pengalaman penggunaan yang baik untuk keperluan produktiviti. Selain itu, peranti ini dijangka hadir dengan spesifikasi yang dipertingkat bersama pelbagai ciri yang diintegrasi AI.