Tesla Model 3 (2023) sudah mula diserahkan kepada pemilik di Malaysia melalui satu majlis penyerahan kumpulan pertama yang berlangsung di Tesla Experience Centre, Cyberjaya.
Pada acara tersebut, Tesla turut melancarkan pelan data premium pada harga RM35.99 sebulan yang membolehkan pemilik Tesla menikmati sambungan data yang lebih lancar dan menyokong international roaming di Thailand dan Singapura.
Pelan data premium ini turut diberikan percuma selama 30 hari kepada pemilik baharu yang boleh diaktifkan melalui aplikasi Tesla. Selain itu, Tesla turut menyediakan pelan data biasa secara percuma selama 8 tahun yang digunakan untuk navigasi.
Tesla Model 3 (2023) telahpun dibuka untuk pra-tempahan pada September lalu dan ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu pacuan roda belakang (RWD) dan dwi-motor pacuan semua roda (AWD).
Untuk Model 3 RWD, ia menawarkan jarak gerak sejauh 513 km (WLTP), kelajuan maksimum 201 km/j dan boleh memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 6.1 saat. Manakala untuk Model 3 dwi-motor AWD, ia menawarkan jarak gerak sejauh 629 km (WLTP), kelajuan maksimum 201 km/j dan boleh memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 4.4 saat.
Berbeza dengan versi awal, Tesla Model 3 (2023) hadir dengan 50% perubahan komponen dengan rekaan luaran dan dalaman diberi nafas baharu dan lebih menarik.
Harga jualan untuk Tesla Model 3 (2023) bermula dari RM189K untuk RWD dan meningkat kepada RM218K untuk dwi-motor AWD. Tesla turut menawarkan beberapa pilihan warna untuk bahagian dalaman dan luaran serta pilihan rim dengan penambahan harga untuk setiap pilihan.