Sejumlah pengguna Google Drive melaporkan fail mereka hilang secara tiba-tiba. Berikutan dari itu, Google telah mengeluarkan kenyataan berkenaan masalah tersebut. Menurut Google, masalah tersebut hanya terkesan kepada pengguna Google Drive versi dekstop dan sedang menyiasat lebih lanjut mengenainya.
Masalah tersebut dikatakan berlaku disebabkan Google Drive versi desktop menghadapi masalah untuk menyegerakkan (synchronize) kandungan di awan dan desktop pengguna. Nombor binaan Google Drive versi desktop yang dikesan menghadapi masalah tersebut adalah versi v84.0.0.0 hingga v84.0.4.0.
Sehubungan dengan itu, Google menyarankan pengguna untuk tidak menekan ‘disconnect account’ pada aplikasi Google Drive versi desktop dan tidak menghapuskan atau memindahkan sebarang data. Selain itu, Google turut mengalakkan pengguna untuk membuat fail backup sebagai langkah berjaga-jaga.
Ini bukanlah kali pertama laporan mengenai fail Google Drive hilang secara tiba-tiba. Pada tahun 2019, terdapat sejumlah pengguna turut melaporkan perkara yang sama.