Apple dijangka akan membuat beberapa perubahan pada rekaan iPhone yang seterusnya. Perubahan tersebut mungkin merangkumi beberapa perkara seperti kedudukan butang, rekaan kamera dan pilihan warna.
Terbaru, terdapat laporan mendedahkan yang Apple telah menghasilkan beberapa prototaip awal untuk rekaan iPhone 16. Terdapat dua rekaan prototaip iPhone 16 yang telah dihasilkan dengan perbezaan ketara pada rekaan kamera dan konfigurasi butang.
Untuk rekaan pertama, ia menggunakan rekaan kamera seperti iPhone 12 yang disusun secara menegak. Manakala, rekaan kedua menggunakan rekaan kamera seperti iPhone X yang juga disusun secara menegak yang digabungkan dalam bentuk seperti pil.
Apple turut mengubah saiz dan konfigurasi butang yang akan digunakan pada iPhone 16. Terdapat tiga saiz dan konfigurasi butang yang dilakukan, untuk rekaan pertama (kuning) butang suara digabungkan dan terdapat butang action. Rekaan kedua (merah jambu) butang suara mekanikal disusun secara berasingan dan terdapat butang action. Akhir sekali, rekaan ketiga (hitam) butang suara dan action menggunakan saiz lebih besar dan terdapat butang baharu iaitu capture button di sebelah kanan.
Untuk rekaan skrin hadapan, tiada sebarang perubahan yang dilakukan dan kekal menggunakan skrin dengan dynamic island.
Buat masa ini, tidak dapat dipastikan rekaan mana yang akan digunakan oleh Apple. Dan rekaan akhir untuk iPhone 16 mungkin ada perubahan berikutan tarikh pelancaran yang masih lagi panjang.