Apple kini diharamkan untuk menjual dua model jam tangan pintar mereka iaitu Apple Watch Series 9 dan Ultra 2 di Amerika Syarikat. Apple sebelum ini, telahpun menghentikan jualan kedua-dua model lebih awal pada 24 Disember sebelum arahan dikeluarkan pada 26 Disember.
Keputusan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (ITC) terhadap Apple tidak berubah melanggar paten teknologi yang dimiliki oleh Masimo Corp. Teknologi sensor oksigen dalam darah yang digunakan oleh Apple pada Watch series 9 dan Ultra 2 telah dipatenkan oleh Masimo Corp sebagai teknologi pulse oximeter.
Berikutan pengharaman ini, Apple dikatakan akan membuat rayuan berkenaan keputusan ITC di mahkamah rayuan Amerika Syarikat. Selain itu, Apple mungkin akan memberi kemas kini yang akan memintas paten yang dimiliki oleh Masimo Corp sekaligus membolehkan kedua-dua model dijual semula.
Namun begitu, usaha tersebut mungkin mengambil masa yang lebih panjang. Masimo Corp menyatakan kemas kini perisian tidak menyelesaikan masalah tersebut sebaliknya Apple perlu menukar perkakasan yang digunakan pada Apple Watch Series 9 dan Ultra 2.