Xiaomi telahpun melancarkan EV pertama mereka iaitu Super Ultra 7 (SU7) pada Disember lalu. Merupakan sebuah sedan empat pintu dan ditawarkan dalam pilihan varian iaitu SU7 dan SU7 Max.
Seiring dengan pelancaran itu, Xiaomi telah memperkenalkan laman web khas untuk perniagaan EV mereka. Laman web tersebut memperlihatkan pelbagai maklumat merangkumi butiran imej grafik SU7, butiran teknikal dan video berkenaan pengeluaran EV tersebut. Selain itu, ia terdapat juga beberapa maklumat lain seperti Xioami pilot dan Xiaomi smart cockpit.
Xiaomi SU7 menggunakan motor tunggal dengan kelajuan maksimum pada 210 km/j dan jarak gerak sehingga 668 km. Manakala untuk Xiaomi SU7 Max, ia menggunakan dwi-motor dengan kelajuan maksimum pada 265 km/j dan jarak gerak sehingga 800 km.
Xiaomi menyatakan yang rekaan SU7 ini dibangunkan oleh pereka-pereka terkemuka antaranya seperti pereka konsep BMW dan Mercedes. Selain itu, EV pertama Xiaomi ini adalah sebuah EV berpretasi tinggi dengan elemen premium setanding Porsche Taycan Turbo.
Xiaomi SU7 ini ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Aqua blue, Mineral grey dan Verdant green. EV pertama dari Xiaomi dijangka akan mula ditawarkan pada penghujung 2024.