Apple nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam membawakan fungsi generatif AI pada peranti mereka. Terbaru, Tim Cook menyatakan yang fungsi tersebut akan tiba pada peranti Apple tahun ini.
Pesaing Apple iaitu Google dan Samsung dilihat lebih awal membawakan fungsi tersebut kepada peranti mereka. Penawaran fungsi ini dapat memudahkan pengguna dalam urusan harian yang melibatkan suntingan imej, penghasilan teks dan banyak lagi.
Ketibaan fungsi ini pada peranti Apple memberikan gambaran awal mengenai iOS 18, bakal tampil dengan pelbagai fungsi AI yang menarik seperti yang ditawarkan oleh Google dan Samsung. Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan yang iOS 18 akan menerima kemas kini terbesar dalam sejarah iPhone.
Namun begitu, Tim Cook tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai fungsi AI generatif yang akan dibawa sebaliknya menyatakan yang pasukan mereka sedang membangunkan fungsi tersebut.