Pada ketika ini, AI mampu melakukan pelbagai perkara seperti menjana teks, imej, audio dan video. Berikutan itu, terdapatnya risiko untuk berlakunya kandungan palsu dan juga penipuan.
Terbaru, Meta dilaporkan akan melabelkan imej atau kandungan yang dijana oleh AI pada aplikasi mereka seperti Facebook, Instagram dan juga Threads. Label tersebut akan memberikan maklumat mengenai kandungan apabila ditekan. Maklumat tersebut akan mendedahkan perincian mengenai bagaimana kandungan tersebut dijana oleh AI.
Untuk itu, Meta akan menggunakan beberapa sistem pengesahan identiti imej seperti C2PA dan IPTC. Yang mana, sistem ini turut digunakan oleh OpenAI, Adobe, Midjourney, Google dan Shutterstock. Untuk audio dan video yang dihasilkan oleh AI, pengguna boleh melabelkan kandungan tersebut secara sendiri.
Selain itu, Meta merancang untuk memberikan hukuman kepada pengguna sekiranya gagal melabelkan kandungan yang dijana oleh AI. Ini merupakan salah satu inisiatif Meta dalam usaha untuk mengurangkan isu penipuan terutamanya pada kandungan yang berpotensi menimbulkan keraguan atau kekeliruan.