Seperti kita tahu, Samsung hadir dengan dua pilihan cip pada siri Galaxy S24 iaitu cip Exynos 2400 dan cip Snapdragon 8 Gen 3. Berikutan itu, terdapat pelbagai persoalan mengenai kemampuan dan pretasi bagi kedua-dua cip.
Pada percubaan kami di antara cip Exynos 2400 dan cip Snapdragon 8 Gen 3 mendapat keputusan yang agak menarik. Untuk ujian penanda aras melalui AnTuTu benchmark, cip Exynos 2400 (Galaxy S24+) mencatatkan skor sekitar 1746139 dan cip Snapdragon 8 Gen 3 (Galaxy S24 Ultra) pula mendapat skor sekitar 1766620.
Untuk ujian kepanasan, cip Exynos 2400 (Galaxy S24+) mencatatkan suhu yang lebih baik iaitu sekitar 43°C hingga 45°C berbanding cip Snapdragon 8 Gen 3 (Red Magic 9 Pro) iaitu 45°C hingga 48°C. Namun, pada Galaxy S24 Ultra ia mencatatkan suhu yang lebih rendah iaitu 39°C hingga 40°C.
Dari segi permainan, kedua-dua model iaitu Galaxy S24+ dan Galaxy S24 Ultra dapat mengekalkan fps yang konsisten sekitar 90 fps. Namun begitu, pada Red Magic 9 Pro ia mampu mencapai fps yang lebih tinggi iaitu sekitar 100 fps dan ke atas tetapi suhu meningkat sehingga 48°C. Bermaksud, Galaxy S24+ dan Galaxy S24 Ultra berjaya mengawal suhu secara optimum dalam masa yang sama menawarkan fps yang konsisten.
Kami turut melakukan ujian penanda aras melalui Geekbench 6. Melalui ujian tersebut, cip Exynos 2400 (Galaxy S24+) yang mendapat skor 1862 untuk satu teras dan 6602 untuk multi teras. Manakala, untuk cip Snapdragon 8 Gen 3 (Galaxy S24 Ultra) mendapat skor yang lebih baik iaitu 2290 untuk satu teras dan 6979 untuk multi teras.
Secara keseluruhan, kemampuan cip Exynos 2400 boleh dikatakan hampir sama dengan apa yang ditawarkan pada cip Snapdragon 8 Gen 3. Jadi, kita mungkin boleh menyatakan yang cip Exynos 2400 ini adalah cip yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.