Xiaomi secara rasmi telah berkongsi rekaan penuh untuk model premium mereka iaitu 14 Ultra. Perkongsian tersebut dibuat melalui Facebook rasmi dan juga melalui platform X.
Perkongsian tersebut mendedahkan yang Xiaomi 14 Ultra akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Hitam dan Putih. Kedua-dua pilihan warna ini akan hadir dengan kemasan seperti kulit pada panel belakang. Menggunakan rekaan modul kamera bulat dengan bonggol tebal bersama dengan penjenamaan Leica.
Selain itu, turut dapat dilihat ia hadir dengan rekaan sisi jenis rata dan terdapat butang kuasa dan butang suara yang diletakkan di sebelah kanan. Namun begitu, perkongsian tersebut tidak mendedahkan maklumat mengenai jenis bingkai yang akan digunakan aluminium atau titanium.
Untuk spesifikasi, Xiaomi 14 Ultra dijangka akan hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.7-inci, cip Snapdragon 8 Gen 3, 16GB RAM, storan dalaman 1TB, kuad-kamera belakang 50MP, bateri 5300mAh dan pengecasan pantas 90W.
Xiaomi 14 Ultra akan diperkenalkan pada 25 Februari ini di MWC. Selain itu, Xiaomi dijangka akan turut memperkenalkan beberapa peranti lain pada acara tersebut.