BYD melalui sub-jenama mewah mereka iaitu YANGWANG secara rasmi memperkenalkan kereta elektrik berprestasi tinggi iaitu U9. Kereta elektrik ini dibina dengan menggunakan platform baharu BYD iaitu e4 dan dikuasakan dengan empat motor elektrik.
U9 menggunakan teknologi ‘Yisifang’ yang dikuasakan dengan empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa 1300 hp dan 1680 Nm. Mampu memecut 0-100 km/j hanya dalam 2.36 saat dengan kelajuan maksimum 309 km/j. Dimuatkan dengan bateri 80 kWh yang mampu bergerak sejauh 467 km (CLTC). Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas 500 kW yang boleh mengecas 30% ke 80% hanya dalam 10 minit sahaja.
Menarik mengenai U9 adalah ia dimuatkan dengan sistem kawalan baru yang dipanggil sebagai DiSus-X. Sistem kawalan ini membolehkan ia dipandu dengan menggunakan tiga tayar melalui ciri keselamatan yang akan mengurangkan bebanan sebanyak 50% dan juga boleh melompat pada ketinggian dua inci. Selain itu, ia juga boleh melakukan pusingan 360, bergerak seperti ketam dan menari.
Dari segi rekaan luaran, U9 tampil dengan rekaan sporty yang unik dengan rekaan lampu LED berbentuk C. Manakala pada bahagian belakang, ia menggunakan rekaan lampu LED yang kelihatan seperti bersambung namun dipisahkan dengan logo pada bahagian tengah. Terdapat juga difuser dan spoiler besar diletakkan yang hampir menggunakan sepenuhnya ruang belakang. Di China, YANGWANG U9 dijual pada harga bermula sekitar CNY1,680,000 (RM 1,115,277).