Chery secara rasmi memperkenalkan kenderaan elektrik baru (EV) untuk pasaran tempatan melalui model Omoda E5. Merupakan sebuah SUV elektrik yang tampil dengan rekaan yang menarik bersama dengan pelbagai teknologi yang terkini.
Omoda E5 hadir dalam satu pilihan sahaja yang dikuasakan dengan motor tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 201 hp dan tork 340Nm. Mampu memecut 0-100 km/j hanya dalam 7.6 saat dengan kelajuan maksimum 172 km/j. Menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 61kWh yang mampu bergerak sejauh 430 km (WLTP).
Untuk pengecasan, Omoda E5 menyokong pengecasan pantas DC pada 80 kW yang mampu mengecas 30% hingga 80% hanya dalam masa 28 minit. Selain itu, ia turut menyokong pengecas AC pada 9.9 kW bersama dengan sokonga V2L (vehicle to load) pada 3.3 kW.
Untuk pasaran Malaysia, Omoda E5 dijual pada harga RM147K dan ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Aqua Green, Khaki White dan Phantom Grey. Dari segi jaminan, ia didatangkan dengan jaminan selama 7 tahun atau 150,000 km dan jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km. Chery turut memberikan pertukaran bateri 1 to 1 sekiranya kesihatan bateri 70% ke bawah sekiranya masih dalam jaminan.
Selain itu, 2000 pelanggan terawal akan menerima pengecas wallbox dan kabel penyesuaian V2L secara percuma. Terdapat juga kredit pengecasan bernilai RM1000 diberikan yang boleh digunakan di mana-mana stesen pengecasan EV Connection (EVC).