Dalam usaha untuk menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Waze kini hadir dengan 6 fungsi baru pada aplikasi mereka.
Senarai fungsi baru yang dibawakan oleh Waze :
Laluan bulatan lebih terperinci
Untuk fungsi ini, ia akan membantu pengguna untuk mengetahui laluan bulatan dengan lebih terperinci. Waze akan memberi arahan yang lebih jelas dan imej yang lebih mudah untuk difahami. Selain itu, lorong masuk dan lorong keluar kini dapat dilihat dengan lebih jelas dan tidak mengelirukan pengguna. Fungsi ini akan tersedia pada pengguna Android pada bulan ini dan pengguna iOS pada penghujung tahun ini.
Makluman awal mengenai kenderaan kecemasan
Fungsi ini akan memberitahu dengan lebih awal sekira terdapat kenderaan kecemasan seperti ambulans di laluan pengguna. Sekaligus, membolehkan pengguna mengubah laluan mengikut keperluan dalam masa yang sama dapat memastikan responden pertama lebih selamat. Buat masa ini, fungsi ini hanya tersedia di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Perancis pada Android dan iOS. Lebih banyak negara akan menyokong fungsi ini dalam masa terdekat.
Makluman had laju
Makluman had laju akan dipaparkan dengan lebih awal kepada pengguna sebelum melalui kawasan atau laluan tersebut. Fungsi ini membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak masa untuk memperlahankan kenderaan dalam masa dapat menyesuaikan had laju. Fungsi akan tersedia kepada semua pengguna Android dan iOS pada bulan ini.
Makluman mengenai keadaan jalan
Fungsi ini akan memaklumkan pengguna mengenai bahaya yang ada di sepanjang laluan seperti jalan berlubang, bonggol, selekoh tajam dan lintasan kereta api. Memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar lebih-lebih lagi pada laluan yang gelap. Fungsi ini akan tiba secara global pada semua pengguna pada bulan ini.
Tempat letak kereta lebih terperinci
Pengguna kini boleh mengetahui maklumat lebih terperinci dan lebih berguna mengenai sesuatu lokasi tempat letak kereta. Maklumat seperti kos, kemudahan akses yang disediakan dan jenis tempat letak kereta (berbumbung atau tidak) akan diperlihatkan. Selain itu, terdapat juga maklumat mengenai pilihan valet dan juga pengecasan EV sekiranya ada. Namun begitu, fungsi ini hanya tersedia untuk pengguna Amerika Syarikat dan Kanada sahaja.
Maklumat mengenai laluan yang sering digunakan
Fungsi ini akan memperlihatkan lebih banyak maklumat tentang laluan yang sering digunakan oleh pengguna seperti laluan ke tempat kerja atau ke rumah. Fungsi ini memudahkan pengguna untuk melihat maklumat tentang laluan biasa dan mengemas kini maklumat trafik secara langsung. Menariknya, pengguna boleh membandingkan laluan biasa dan laluan alternatif seterusnya boleh memilih laluan yang lebih sesuai. Fungsi ini akan tiba secara global pada semua pengguna pada bulan ini.