Umum mengetahui, bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa untuk umat islam di seluruh dunia. Bulan tersebut turut dipanggil sebagai bulan keampunan serta penuh dengan keberkatan. Berikutan itu, seluruh umat islam mengambil peluang untuk mengimarahkan ibadah mereka dalam masa yang melakukan pelbagai bentuk kebaikan.
Sehubungan dengan itu, kami ingin berkongsi 3 aplikasi terbaik untuk mengimarahkan lagi ramadan anda pada tahun ini.
HUDA
Aplikasi pertama adalah HUDA, aplikasi ini mempunyai antara muka yang ringkas dan mudah untuk digunakan. Biarpun tampil dengan antara muka yang ringkas namun aplikasi ini menyokong pelbagai fungsi seperti menyemak waktu solat, mencari arah kiblat, mencari masjid berdekatan dan Widget.
Tidak ketinggalan, terdapat juga beberapa fungsi tambahan lain untuk menjadikan aplikasi ini lengkap dan sesuai untuk seluruh umat islam seperti doa daripada Hisnul Muslim, Hadis 40, Al-Quran, 99 nama allah dan Tasbih. Antara perkara yang kami suka mengenai aplikasi ini adalah ia mempunyai sokongan widget yang menarik dan berguna.
Aplikasi ini dibangunkan oleh MRM Digital yang turut membangun beberapa aplikasi lain seperti Surah Yasin with Translation, Surah Al-Mulk with Translation, Surah Al-Kahf with Translation dan Surah Al-Waqiah with Translation. Aplikasi ini ditawarkan secara percuma tanpa sebarang iklan dan boleh dimuat turun di Play Store dan juga App Store.
QalbyApp
Aplikasi kedua adalah QalbyApp. Nama aplikasi ini berasal dari perkataan arab yang bermaksud Hati. Berbeza dengan HUDA, Qalby tampil dengan lebih banyak kandungan berkenaan islam seperti kepentingan islam, pendidikan dan juga gaya hidup yang berasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah.
Hadir dengan antara muka yang minimal dan mudah untuk difahami sekaligus sesuai untuk digunakan pelbagai lapisan masyarakat. Turut hadir dengan fungsi asas seperti doa harian, peringatan waktu solat, panduan arah kiblat dan juga Al-Quran. Menjadikan aplikasi lebih menarik, ia turut hadir dengan beberapa fungsi menarik seperti Qjournal, QalbyTV, Souq, Umrah, Qalby Travel, Jariyah, Umrah, Podcast dan Community. QalbyApp boleh dianggap sebagai aplikasi yang lengkap dan sesuai untuk semua umat islam.
QalbyApp ini dibangunkan oleh Eternal Rewards Snd Bhd, salah seorang pembangun aplikasi ini adalah selebriti tempatan iaitu Mizz Nina. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Play Store dan juga App Store.
The Noor
Aplikasi terakhir adalah The Noor, seperti Qalby yang berasal dari perkataan arab. ‘Noor’ juga berasal dari perkataan arab yang bermaksud Cahaya. The Noor tampil dengan antara muka yang lebih interaktif, padat dan ceria. Aplikasi ini juga boleh dikatakan sebagai aplikasi yang lengkap dan sesuai untuk gaya hidup Islam yang terbaik.
Aplikasi ini turut hadir dengan fungsi asas seperti doa harian, peringatan waktu solat, panduan arah kiblat dan juga Al-Quran. Selain itu, ia turut hadir dengan fungsi dan sokongan yang lebih menarik seperti Radio, Zikir, WakeUp Call, Noor TV, Community dan Khutbah. Berbeza dengan QalbyApp, aplikasi ini tampil dengan fungsi yang lebih luas dan menyeluruh seperti Zakat, Tabarru’, Jejak solat harian dan Sadaqah. Aplikasi ini turut menyokong 5 pilihan Bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Indonesia, Tamil dan Cina.
The Noor dibangunkan oleh Noor Luminous Sdn Bhd dan mula diperkenalkan pada 2021. Selebriti tempatan iaitu Noor Neelofa Mohd Noor merupakan pengasas bersama dan CEO kepada aplikasi ini. The Noor tersedia secara percuma dan boleh dimuat turun di Play Store, HUAWEI AppGallery dan juga App Store.