Apple mengemas kini penyeneraian produk usang atau ‘Obsolete’ mereka dengan menambah iPhone 6 Plus sebagai senarai baru. iPhone 6 Plus mula diperkenalkan pada September 2014 dan dihentikan pengeluaran pada September 2016 iaitu selepas 2 tahun di pasaran.
Dengan penyenaraian tersebut, Apple tidak lagi menawarkan perkhidmatan atau pembaikan perkakasan untuk iPhone 6 Plus di semua Apple Store atau Apple Authorized Service Providers (AASP). Apple menyatakan, produk atau peranti yang tidak lagi dikeluarkan selepas 7 tahun akan disenaraikan sebagai usang.
iPhone 6 Plus menjadi peranti terawal yang menyokong sistem pembayaran Apple Pay, membolehkan pengguna menyimpan kad kredit dan kad debit pada aplikasi Wallet. Kemas kini terakhir yang disokong oleh iPhone 6 Plus adalah iOS 12 yang dilancarkan pada 2018. Sekiranya anda masih menggunakan peranti ini, ia mungkin waktu yang sesuai untuk naik taraf kepada peranti yang baru.