Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan usahawan kosmetik Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor.
Ia berikutan dari aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubungan dengan kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik oleh usahawan kosmetik tersebut. MCMC menyatakan, selepas kertas siasatan siap ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588]. MCMC menyifatkan klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau sebagai kandungan yang bersifat jelik, ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi
yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Selain itu, pegawai penyiasat telah menyita kad sim serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.