Kerajaan AS dilaporkan telah membatalkan lesen yang membenarkan Qualcomm dan Intel menjual cip kepada HUAWEI. Bermaksud, HUAWEI tidak lagi boleh membeli cip pemprosesan dari Qualcomm atau Intel.
Tindakan tersebut dilakukan selepas HUAWEI memperkenalkan komputer riba baru mereka iaitu MateBook X Pro yang dijana dengan cip Intel Core Ultra 9 dan dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI). Lebih teruk, pembatalan lesen tersebut dikatakan berkuatkuasa serta merta.
Buat masa ini, ketiga-tiga syarikat belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dengan isu tersebut. Namun begitu, Jabatan Perdagangan A.S. sebelum ini telahpun mengesahkan perkara tersebut tanpa menamakan syarikat yang terlibat.
Sekiranya laporan ini tepat, ia bakal memberi kesan yang sangat besar kepada HUAWEI. Berikutan itu, HUAWEI perlu mencari alternatif lain untuk terus kekal relevan. Pada ketika ini, HUAWEI mempunyai cip telefon pintar sendiri iaitu Kirin namun untuk komputer riba tiada cip yang dihasilkan oleh mereka sendiri.
HUAWEI mula dikenakan sekatan bermula pada 2019, selepas disenaraikan sebagai “Daftar Entiti” oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat kerana dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.