Perodua menjadi tumpuan utama pada acara Malaysia Autoshow 2024 selepas memperlihatkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu EMO-1. Prototaip ini dibina dengan menggunakan model Myvi dan akan menjadi asas dalam membangunkan teknologi elektrik.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA iaitu Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad. Proses pembangunan EV ini telah dimulakan sejak September 2022. Melibatkan 3 universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Terdapat 3 komponen utama pada EMO-1 dengan 2 daripadanya dibangunkan oleh universiti tempatan sepenuhnya iaitu Power Bench dan Power Converter. Hanya pembangunan teknologi penukaran kuasa sahaja yang dibangunkan oleh syarikat yang berpangkalan di Australia.
Dari segi spesifikasi, EMO-1 dikuasakan dengan 3 Phase Permanent Magnet Synchronous Motor yang mampu menghasilkan 120 kW dan 315 Nm. Untuk kelajuan pecutan dari 0-100 km/j, Perodua menyasarkan sekitar 7-9 saat. Dimuatkan dengan bateri 57 kWh dengan jarak gerak disasarkan sekitar 400 km. Menyokong dua teknologi pengecasan iaitu AC dengan 11 kW yang mengambil masa sekitar 5 jam dan DC 50 kW yang mengambil masa sekitar 1 jam.
Memandangkan EMO-1 adalah prototaip, jadi rekaan akhir EV pertama Perodua semestinya berbeza dari apa yang diperlihatkan pada ketika ini. Harga jualan untuk EV ini dikatakan tidak melebihi RM100K dan tidak kurang daripada RM50K.
EV pertama dari Perodua ini dijangka akan dilancarkan pada 2025. Prototaip EMO-1 ini boleh dilihat di acara Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung dari 22 hingga 26 Mei 2024, bertempat di MAEPS Serdang.