Seperti yang kita tahu, Apple tidak pernah mendedahkan maklumat mengenai sokongan kemas kini yang diberikan pada iPhone. Terbaru, Apple secara rasmi mengesahkan yang iPhone menyokong kemas kini minimum selama 5 tahun.
Apple terpaksa mengesahkan sokongan kemas kini untuk iPhone berikutan peraturan yang dikeluarkan oleh United Kingdom (UK). Peraturan yang dipanggil sebagai Keselamatan Produk dan Infrastruktur Telekomunikasi (PSTI) ini memerlukan syarikat yang mengeluarkan, mengimport atau mengedarkan produk dengan keupayaan rangkaian di UK mematuhi keperluan keselamatan tertentu.
Berikutan dari peraturan tersebut, Apple telah mengeluarkan penyataan pematuhan untuk iPhone 15 Pro Max. Sekaligus, mendedahkan yang Apple menetapkan tempoh sokongan minimum untuk kemas kini adalah selama 5 tahun dari tarikh pengeluaran pertama. Bermaksud, siri iPhone 15 akan menyokong kemas kini perisian sehingga tahun 2028. Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah model iPhone terdahulu turut menyokong tempoh kemas kini ini atau sebaliknya.
Sebagai perbandingan, Samsung dan Google menawarkan kemas kini yang lebih panjang untuk peranti mereka iaitu sehingga 7 tahun.