Seperti yang kita tahu, sistem operasi baru iPhone iaitu iOS 18 hadir dengan pelbagai fungsi menarik. Antaranya menyokong ubah suai yang lebih menyeluruh dan sokongan kecerdasan buatan (AI) melalui Apple Intelligence.
Selain itu, Apple turut memperkenalkan fungsi tambahan baru yang akan memaparkan amaran sekiranya pengguna menggunakan pengecas yang perlahan untuk mengecas peranti. Amaran tersebut akan dipaparkan pada bahagian bateri. Selain memaparkan amaran, graf bateri akan bertukar kepada warna jingga bagi menunjukkan perkara tersebut. Untuk mengakses fungsi ini, pergi ke bahagian tetapan dan pilih bateri.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana Apple menentukan pengecas yang digunakan adalah jenis perlahan atau sebaliknya. Namun menurut maklumat, amaran tersebut dipaparkan apabila menggunakan pengecas 5W pada iPhone 15 Pro Max.
Terdapat butang pautan khas yang diletakkan sebelah amaran namun pautan tersebut tidak membawakan kepada dokumen sokongan yang sepatutnya. Dokumen sokongan tersebut dijangka akan tersedia selepas kemas kini iOS 18 tiba untuk pengguna.