Telegram boleh dikatakan antara aplikasi pemesejan yang popular dan sering digunakan oleh kebanyakkan pengguna. Jadi, untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Telegram telah memperkenalkan beberapa fungsi yang menarik. Berikutan itu, kami ingin berkongsi 5 fungsi Telegram yang wajib korang tahu dan cuba.
Kecerdasan buatan (AI) Microsoft Copilot
Telegram kini menyokong kecerdasan buatan (AI) dari Microsoft iaitu Copilot. Kecerdasan buatan dari Microsoft ini dikuasakan oleh model GPT bersama dengan enjin carian Bing.
Melaluinya, pengguna boleh bertanyakan pelbagai soalan merangkumi semua aspek seperti hiburan, jenaka dan sebagainya. Selain itu, pengguna boleh meminta cadangan dan pandangan mengenai sesuatu perkara seperti Travel Planning, Fitness Guidance dan banyak lagi.
Copilot Telegram tersedia secara percuma untuk semua pengguna. Boleh diakses melalui pelbagai peranti merangkumi Android, iOS, Windows, MacOS dan juga Web. Walaubagaimanapun, Copilot ini hanya menyokong pertanyaan melalui teks sahaja buat masa ini. Sekiranya anda ingin mencuba, akses terus CoPilot di Telegram di sini.
Transcription voice to text
Fungsi ini membolehkan pengguna melakukan transkripsi mesej suara yang diterima ditukar ke dalam bentuk teks. Fungsi ini dilihat lebih memudahkan pengguna dan tidak memerlukan pengguna mendengar mesej suara atau video tersebut.
Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna hanya perlu menekan ikon →A yang dipaparkan di sebelah mesej suara atau video yang diterima. Namun begitu, fungsi ini terhad kepada 2 mesej sahaja dalam seminggu untuk pengguna percuma.
Telegram Business
Pengguna kini boleh menukar akaun biasa kepada akaun perniagaan. Dengan bertukar kepada akaun perniagaan pengguna akan mendapat beberapa kelebihan seperti sokongan chatbot, mesej automatik, balasan pantas, waktu operasi, lokasi dan banyak lagi.
Selain itu, dengan menggunakan akaun perniagaan pengguna boleh meningkatkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Sekaligus, dapat memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Namun begitu, fungsi ini hanya tersedia untuk pengguna Telegram Premium sahaja.
Thanos Snap
Padam mesej kini lebih bergaya melalui fungsi ‘Thanos Snap’. Fungsi ini membolehkan mesej yang dipadam mempunyai kesan animasi Thanos Snap dalam filem Marvel. Fungsi ini telahpun tersedia kepada semua pengguna iOS dan juga Android.
View Once
Telegram memperluaskan sokongan view once kepada mesej suara dan video. Sebelum ini, fungsi tersebut hanya boleh digunakan pada imej sahaja. Fungsi ini membolehkan kandungan dilihat sekali sahaja sebelum ia dipadam secara automatik selepas dibuka. Selain itu, pengguna boleh menetapkan masa yang boleh dilihat sebelum ia dipadam.
Fungsi ini tidak diaktifkan secara automatik sebaliknya pengguna perlu menekan ikon “1” pada bahagian sebelum menghantar mesej suara atau video. Pengguna juga tidak boleh melakukan screenshot atau screen record untuk semua kandungan view once.