Close

ASUS ROG Ally X tiba di Malaysia dengan harga RM4299

ASUS Malaysia mengemas kini penawaran konsol mudah alih mereka dengan memperkenalkan ROG Ally X ke pasaran tempatan. Hadir dengan beberapa peningkatan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya iaitu ROG Ally.

ROG Ally X tampil dengan rekaan yang lebih baik dan lebih ergonomik. Bahagian pemegang kini mempunyai corak untuk memberikan cengkaman yang lebih selamat dan lebih selesa. Butang bahagian belakang turut diubah menjadi lebih kecil untuk mengelakkan masalah tertekan tanpa sengaja. Hadir dengan pilihan warna hitam berbanding warna putih pada model sebelumnya.

Untuk spesifikasi, ROG Ally X hadir dengan cip AMD Ryzen Z1 Extreme yang dipadankan dengan GPU AMD RDNA 3. Masih menggunakan skrin LCD bersaiz 7-inci dengan paparan 120Hz yang dilindungi dengan Gorilla Glass Victus. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas 65W.

Selain itu, ROG Ally X kini dilengkapi dengan konfigurasi RAM yang lebih besar iaitu 24GB LPDDR5X dan bateri yang lebih besar iaitu 80Wh. Sebagai perbandingan, ROG Ally hadir dengan 16GB RAM dan bateri 40Wh. Butang D-Pad dan analog turut diberikan nafas baru dengan rekaan yang lebih baik dan lebih lasak.

Untuk sambungan, tiada lagi port sambungan XG Mobile sebaliknya diganti dengan 2x USB-C iaitu USB 3.2 dan Thunderbolt yang memberikan sokongan yang lebih baik untuk pelbagai sambungan. Sistem penyejukkan turut ditambah baik dengan 23% lebih kecil dengan bilah 50% lebih nipis untuk aliran haba yang lebih baik.

Untuk pasaran Malaysia, ROG Ally X dijual pada harga RM4299. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah bermula hari ini sehingga 31 Julai 2024 melalui laman web rasmi ASUS Malaysia. Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percuma bernilai RM658.

ARTIKEL BERKAITAN