Bermula 1 Ogos 2024, semua platform media sosial dan permesejan yang beroperasi di Malaysia perlu memohon lesen daripada kerajaan.
Langkah tersebut diambil selaras dengan keputusan jemaah Menteri berkenaan perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet mesti mematuhi undang-undang di Malaysia. Selain itu, perlaksanaan ini akan dapat menangani kes jenayah siber seperti pengguna akaun palsu dan sebagainya.
Semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar perlu mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia. Tempoh permohonan akan dibuka bermula 1 Ogos 2024 dan akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2025.
Kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan akan dikenakan mengikut Akta 588. Selain itu, perlaksanaan ini hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna.