BYD Seal 2025 telahpun diperkenalkan secara rasmi di China. Hadir dengan pelbagai peningkatan yang merangkumi rekaan dan juga teknologi yang lebih baik.
Dari segi rekaan luaran, Seal 2025 hadir dengan beberapa perubahan kecil seperti pilihan warna baru Sky Purple, logo BYD baru yang kini berlampu dan juga pilihan rim baru. Untuk rekaan dalaman pula, ia hadir dengan rekaan dashboard baru yang dipadankan dengan kemasan berwarna Coral Orange.
Seal 2025 menggunakan teknologi SiC (Silicon Carbide) dan dibina berasaskan kepada platform 800V untuk pengecasan dan penghantaran kuasa yang lebih pantas. Mampu mengecas dari 10% ke 80% hanya dalam 25 minit sahaja. Selain itu, platform ini turut menawarkan kecekapan dan prestasi yang lebih optimum melalui sistem pemacu elektrik 12-dalam-1.
Dari segi prestasi, untuk model permulaan ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 228 hp dan 330 Nm. Manakala untuk model prestasi, ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 308 hp dengan 360 Nm. Terdapat juga pilihan model prestasi yang lebih tinggi yang mampu menghasilkan kuasa 523 hp dengan 670 Nm.
Terdapat 2 pilihan bateri yang ditawarkan untuk Seal 2025 iaitu 61.44 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 510 km dan 80.64 kWh yang menawarkan jarak gerak lebih jauh iaitu mencapai 650 km (CLTC).
Selain itu, ia merupakan BYD sedan pertama yang dilengkapi dengan sensor LiDAR yang meningkatkan fungsi advanced driver safety assistance systems (ADAS). Dari segi keselamatan pula, ia hadir dengan pelbagai fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic emergency braking system (AEB), Lane Detection Warning (LDW), Lane Departure Prevention System (LDP) dan Emergency Lane Keeping System (ELKA).
Di China, Seal 2025 dijual pada harga bermula sekitar CNY175,800 (RM108,433). Ditawarkan dalam 4 pilihan varian iaitu 510 Standard Edition, 650 Long Range Edition, 650 Intelligent Driving Edition dan 600 Four-Wheel Drive Intelligent Driving Edition.
Untuk pasaran Malaysia, BYD Seal dijual pada harga bermula RM179,000 dan ditawarkan dalam 2 pilihan varian iaitu Premium dan Perfomance.