Empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah menghantar bidaan untuk tender pembangunan rangkaian 5G kedua kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan empat dari lima MNO telah menghantar bidaan tersebut iaitu CelcomDigi, TM, U Mobile dan Maxis. Bermaksud, hanya YTL Communications Sdn Bhd tidak menghantar bidaan untuk rangkaian 5G kedua.
Mengulas mengenai rangkaian 5G kedua, beliau menyatakan keputusan tawaran tersebut diserahkan kepada SKMM sepenuhnya dan berharap syarikat dan pembekal terbaik akan memenanginya. Selain itu, keputusan tersebut akan dibuat berpandukan bidaan yang telah dikemukan oleh setiap MNO.
Buat masa ini, tiada sebarang maklumat yang dikongsi oleh SKMM. Namun begitu, proses ini dijangka tidak akan mengambil masa terlalu lama. Keputusan tawaran dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini.