Close

Pico 4 Ultra tiba di Malaysia dengan harga RM2799

Pico Malaysia secara rasmi memperkenalkan set kepala realiti baru mereka iaitu Pico 4 Ultra. Tampil dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.

Pico 4 Ultra hadir dengan berat sekitar 304 gram yang dipadankan dengan dua alat kawalan yang lebih kecil untuk menjadikan ia lebih selesa. Selain itu, ia menyokong sistem haptik HyperSense yang lebih baik dan lebih responsif.

Dikuasakan dengan cip Snapdragon XR2 Gen 2 yang digabungkan dengan 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB UFS 3.1. Dilengkapi dengan skrin bersaiz 2.56-inci dengan resolusi 2160 x 2160. Turut menyokong paparan 90Hz dengan sudut pandangan 105°.

Dimuatkan dengan bateri 5700mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Peranti ini turut menyokong audio spatial, sistem pembesar suara stereo, 4 mikrofon secara terbina dan kamera dengan sensor 32MP.

Peranti ini boleh disambungkan secara serentak pada peranti lain seperti komputer atau peranti pintar melalui aplikasi Pico Connect. Set kepala realiti ini menjalankan sistem operasi berasaskan Android dan menyokong WiFi 7 untuk sokongan rangkaian yang lebih baik.

Selain itu, Pico turut memperkenalkan Pico Motion Tracker yang berfungsi untuk merekod kecergasan pengguna dengan lebih baik. dan lebih tepat. Peranti boleh dipakai pada pergelangan tangan atau kaki dan mampu bertahan sehingga 25 jam.

Di Malaysia, Pico 4 Ultra dijual pada harga RM2799 untuk 12GB + 256GB dan Pico Motion Tracker pula dijual pada harga RM399. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah bermula 4 hingga 8 September 2024. Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percuma Pico Motion Tracker dan permainan All-in-One Sport.

ARTIKEL BERKAITAN