Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara rasmi memperkenalkan JPJePlate. Merupakan bingkai plat khas untuk kenderaan Zero Emission Vehicle (ZEV).
Pengenalan JPJePlate adalah untuk menyeragamkan reka bentuk bingkai plat dalam masa meningkatkan keselamatan di jalan raya. Selain itu, JPJePlate juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam serta meningkatkan pendigitalan sektor pengangkutan.
JPJePlate hadir dengan beberapa ciri inovatif seperti hologram anti klon, reflektif untuk keterlihatan lebih baik dan mempunyai teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Untuk permulaan, bingkai plat JPJePlate ini hanya melibatkan kenderaan Zero Emission Vehicle (ZEV) sahaja. Pelaksanaan ini akan diperluaskan kepada jenis kenderaan lain yang akan diumumkan kemudian. JPJePlate akan dilaksanakan kepada kenderaan ZEV yang dibeli selepas 9 September 2024.
JPJePlate ditawarkan pada harga RM98 untuk satu set yang didatangkan dengan satu plat hadapan dan belakang kenderaan, set skru keselamatan dan pelekat RFID.