Apple secara rasmi memperkenalkan siri iPhone 16 melalui acara Apple Event 2024 (Its Glowtime) yang berlangsung sebentar tadi. Seperti biasa, ia hadir dengan empat pilihan varian iaitu iPhone 16, 16 Plus, 16 Pro dan 16 Pro Max.
iPhone 16 dan 16 Plus
Untuk iPhone 16, ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.1-inci manakala iPhone 16 Plus pula dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.7-inci. Kedua-dua model kini hadir dengan skrin Dynamic Island yang turut menyokong teknologi skrin Super Retina XDR Display dan kecerahan puncak 2000 nits. Masih lagi menggunakan paparan standard 60Hz dan dilindungi Ceramic Shield generasi baru.
Dari segi rekaan, ia hadir dengan rekaan kamera belakang berbeza yang disusun secara menegak berbanding melintang pada model sebelumnya. Turut dimuatkan dengan 2 butang tambahan baru iaitu action button dan camera control. Dijana cip baru A18 yang menawarkan prestasi yang lebih baik sekaligus membolehkan ia menjalankan Apple Intelligence.
Untuk fotografi, ia masih menggunakan tetapan dwi-kamera dengan sensor utama 48MP + 12MP Ultra Lebar. Kamera baru ini menawarkan kemampuan 2x zum telephoto dan macro. Selain itu, ia turut menyokong gambar dan juga video spatial. Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti WiFi 7 dan komunikasi satelit.
Di Malaysia, iPhone 16 dijual pada harga bermula RM3999 manakala iPhone 16 Plus pula dijual pada harga bermula RM4499. Ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Ultramarine, Teal, Pink, White dan Black.
iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max
Merupakan varian paling premium dalam siri iPhone 16. Hadir dengan skrin lebih besar iaitu 6.3-inci untuk iPhone 16 Pro dan 6.9-inci untuk iPhone 16 Pro Max. Kedua-dua menggunakan skrin Dynamic Island dengan paparan ProMotion 120Hz serta dilindungi dengan Ceramic Shield generasi baru.
Dikuasakan dengan cip A18 Pro yang dibina dengan menggunakan teknologi binaan 3nm generasi kedua. Apple menyatakan cip ini adalah 20% lebih pantas berbanding cip A17 Pro.
Kemampuan kamera turut dipertingkatkan dengan kamera Ultra Lebar kini menggunakan sensor yang lebih besar iaitu 48MP berbanding 12MP pada model sebelumnya. Apple menyatakan kamera ini menawarkan pengalaman fotografi yang lebih baik dengan Zero Shutter Lag untuk gambar ProRAW dan mampu merakam video dengan resolusi 4K 120fps.
Selain itu, peranti ini turut dilengkapi dengan butang tambahan baru yang dipanggil sebagai Camera Control. Seperti namanya, butang ini membolehkan aplikasi kamera di akses dengan lebih mudah dan menyokong keupayaan zum melaluinya.
Peranti ini turut mempunyai empat mikrofon terbina yang menawarkan kualiti audio seperti di studio. Spesifikasil lain yang turut dibawakan adalah seperti WiFi 7, spatial untuk gambar atau video, USB-C dengan teknologi USB 3 dan lain-lain.
Di Malaysia, iPhone 16 Pro dijual pada harga bermula RM4999 manakala iPhone 16 Pro Max pula dijual pada harga bermula RM5999. Bagi yang berminat, siri iPhone 16 boleh dipra-tempah bermula 13 September dan penjualan pertama pada 20 September.