Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) mengumumkan kerjasama untuk pembayaran rentas sempadan melalui kod QR. Melalui kerjasama ini, ia membolehkan pengguna dan peniaga kedua-dua negara membuat pembayaran melalui kod QR DuitNow.
Kerjasama di antara BNM dan NBC ini dibahagikan kepada dua fasa. Untuk fasa pertama, warga Kemboja ke Malaysia boleh menggunakan aplikasi perbankan mereka seperti Bakong atau Maybank2U KH untuk membuat pembayaran menggunakan kod QR DuitNow.
Manakala untuk fasa kedua, ia membolehkan warga Malaysia ke Kemboja membuat pembelian atau pembayaran dengan mengimbas kod QR KhmerQR menggunakan aplikasi pembayaran dari institusi kewangan yang menyokong kerjasama ini.
Antara institusi atau badan kewangan yang menyokong pembayaran rentas sempadan ini adalah Maybank, PayNet dan juga NBC.
Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan Kemboja. Selain itu, pembayaran rentas sempadan ini akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan sektor peruncitan bagi kedua-dua negara.