Aplikasi MyJPJ menerima kemas kini baru iaitu log masuk tunggal dengan menggunakan MyDigital ID.
Log masuk tunggal dengan menggunakan MyDigital ID ini akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober 2024. Melaluinya, pengguna wajib mempunyai MyDigital ID untuk melakukan log masuk aplikasi MyJPJ selepas tarikh tersebut.
Buat yang tidak mengetahui, MyDigital ID merupakan sistem pengesahan pengenalan diri digital yang diwujudkan untuk keselamatan dan kecekapan urusan dalam talian. Dengan MyDigital ID, pengguna tidak lagi memerlukan kata nama dan kata laluan untuk perkhidmatan dalam talian.
Selain MyJPJ, log masuk tunggal ini dijangka akan turut tersedia pada aplikasi kerajaan lain seperti MyTax dan MySejahtera. Berikutan dari itu, anda digalakkan untuk mendaftar MyDigital ID bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Aplikasi MyDigital ID boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan juga HUAWEI AppGallery.