Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan penggunaan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi MyJPJ tidak diperlukan.

Menurut beliau, pengguna boleh melakukan log masuk aplikasi MyJPJ seperti biasa tanpa memerlukan MyDigital ID seperti mana yang dilaporkan. Berikutan itu, orang ramai tidak perlu risau atau bimbang mengenai MyJPJ tidak boleh diakses selepas 10 Oktober ini.

Sebelum ini, terdapat pop up pada aplikasi MyJPJ yang mewajibkan penggunaan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi berkenaan. Mengulas lanjut mengenai, pop up tersebut bukan notis rasmi dari Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ia telah diturunkan serta-merta.
Selain itu, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.
Buat yang tidak mengetahui, MyDigital ID merupakan sistem pengesahan pengenalan diri digital yang diwujudkan untuk keselamatan dan kecekapan urusan dalam talian.