Dalam usaha untuk memberikan pengalaman yang lebih baik dan lebih menarik pada Shorts. YouTube mengumumkan yang Shorts akan menyokong muat naik video sehingga 3 minit.
Sokongan muat naik video sehingga 3 minit pada Shorts akan bermula 15 Oktober ini. Ketibaan fungsi ini membolehkan pencipta kandungan memuat naik video yang lebih panjang sekaligus dapat menjadikan kandungan mereka lebih menarik.
Selain itu, dengan kandungan lebih panjang pengguna akan menghabiskan masa yang lebih lama untuk menonton kandungan yang digemari oleh mereka. Menurut YouTube, sokongan video yang lebih panjang pada Shorts adalah fungsi paling banyak diminta oleh pencipta kandungan.
Shorts merupakan pesaing kepada TikTok, memfokuskan kepada kandungan video pendek yang ditonton secara menegak. Sebelum ini, YouTube telahpun memperkenalkan pelbagai fungsi baru pada Shorts untuk menjadikan ia lebih menarik.