Close

Fungsi ‘Theft Detection Lock’ mula dilepaskan secara global untuk peranti Android

Pada acara Google I/O yang berlangsung pada Mei lalu, Google telah mengumumkan fungsi kecurian baru iaitu ‘Theft Detection Lock’ untuk peranti Android. Fungsi ini dibangunkan untuk memastikan maklumat, data peribadi dan kewangan pengguna selamat sekiranya peranti dicuri.

Dalam perkembangan terbaru, fungsi tersebut mula dilepaskan kepada lebih banyak pengguna Android secara global. Sebelum ini, Google telahpun menguji fungsi ini di Brazil pada sekitar Jun lalu.

Terdapat 4 pilihan yang ditawarkan melalui fungsi ini iaitu theft detection lock, offline device lock, remote lock dan find & erase your device. Untuk theft detection lock, peranti akan dikunci sekiranya terdapat pergerakkan yang mencurigakan seperti diragut. Offline device lock pula, peranti akan dikunci sekiranya berada dalam mod luar talian dalam tempoh yang panjang.

Manakala remote lock pula, membolehkan peranti dikunci dari jauh dengan menggunakan nombor fon dan untuk find & erase your device, ia membolehkan pengguna mengesan lokasi dan memadamkan data dari jauh.

Fungsi ini hanya tersedia untuk peranti yang menjalankan sistem operasi Android 10 dan ke atas. Selain itu, fungsi ini belum lagi tersedia untuk pengguna di Malaysia. Kita mungkin boleh menjangkakan ia akan tiba dalam masa terdekat.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN