Tesla melalui acara “We, Robot” telah mengumumkan Robotaxi mereka yang dikenali sebagai Cybercab. Buat yang tidak mengetahui, Robotaxi merupakan kenderaan autonomi yang dibina tanpa stereng atau pedal kawalan.
Menurut Elon Musk, kenderaan autonomi ini adalah 10 hingga 20 kali lebih selamat berbanding kenderaan yang dipandu oleh manusia dengan kos operasi yang lebih rendah. Pengeluaran untuk kenderaan autonomi dari Tesla ini dijadualkan akan bermula pada 2026 atau 2027.
Robotaxi ini boleh memuatkan dua orang penumpang dalam sesuatu masa dengan ruang kabin hanya mempunyai sebuah skrin infotaiment. Dari segi rekaan, mirip seperti Model 3 pada bahagian hadapan dan Cybertruck pada bahagian belakang. Menariknya, pintu Robotaxi ini akan terbuka dan tertutup secara automatik.
Untuk pengecasan, ia menggunakan sistem pengecasan tanpa wayar dengan bateri dicas secara induktif. Selain itu, Cybercab ini berkemampuan untuk membersihkan ruangan dalaman secara sendiri melalui sistem robotik seperti membersihkan skrin infotainment dan membuang sampah.
Namun begitu, tiada maklumat yang lebih terperinci mengenai Cybercab yang dikongsi oleh Tesla buat masa ini.