Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan Malaysia akan mengurangkan penjanaan tenaga berasaskan arang batu secara berperingkat. Bukan itu sahaja, tiada lagi stesen jana kuasa elektrik arang batu yang baru akan dibuka.
Langkan ini diambil seiring dengan usaha dan komitmen negara untuk beralih kepada sistem tenaga karbon rendah serta menjauhi bahan api fosil dan menggunakan alternatif tenaga yang lebih bersih dan mampan. Sekaligus, dapat mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.
Berikutan itu, negara menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui sebanyak 40% dalam campuran bahan api menjelang 2035, dijangka meningkat kepada 70% menjelang 2050. Pada ketika ini, kapasiti tenaga yang boleh diperbaharui adalah sekitar 28%.
Untuk mencapai usaha tersebut, kerajaan akan meningkatkan fleksibiliti grid sekitar 20% dengan melabur pada grid pintar dan sistem simpanan tenaga menjelang 2035.
Permintaan tenaga hijau kini dilihat semakin meningkat untuk peringkat global dan Malaysia sedia untuk merebut peluang tersebut sekaligus dapat menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.