Apple mengemas kini penawaran mereka dengan memperkenal Mac mini generasi baru. Tampil dengan rekaan yang lebih kompak yang bersaiz 5-inci x 5-inci dan dikuasakan dengan cip terbaru dari Apple.
Mac mini baru ini hadir dengan 2 pilihan cip iaitu M4 dan juga M4 Pro. Untuk Mac mini M4, ia mempunyai 10 teras CPU, 10 teras GPU dan 16 teras Neural Engine. Hadir dengan konfigurasi memori sehingga 32GB untuk RAM dan 2TB untuk storan dalaman.
Menurut Apple, Mac mini ini menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 1.8x lebih pantas dan prestasi GPU sehingga 2.2x lebih pantas berbanding Mac mini dengan cip M1.
Mac mini M4 Pro, tampil dengan spesifikasi yang lebih berkuasa dengan 14 teras CPU, 20 teras GPU dan 16 teras Neural Engine. Hadir dengan konfigurasi memori yang lebih besar iaitu RAM sehingga 64GB dan storan dalaman 8TB.
Apple mendakwa, Mac mini M4 Pro menawarkan kemampuan GPU 2x ganda lebih berkuasa dan Neural Engine 3x lebih pantas berbanding Mac mini dengan cip M1.
Untuk sambungan, ia hadir dengan 2x port USB-C dan 1x bicu audio 3.5mm pada bahagian hadapan. Pada bahagian belakang, ia hadir dengan 3x port Thunderbolt, 1x HDMI dan 1x Gigabit Ethernet. Mac mini M4 Pro menyokong 3 paparan 6K sementara Mac mini M4 menyokong 2 paparan berbeza iaitu 5K dan 6K.
Untuk pasaran Malaysia, Mac mini M4 dijual pada harga bermula RM2499 manakala Mac mini M4 Pro pula dijual pada harga bermula RM5999.