Apple Watch bakal menyokong aplikasi Tesla tidak lama lagi. Perkara tersebut dikongsi oleh Tesla melalui platform X.
Melalui perkongsian tersebut, Tesla mendedahkan yang sokongan tersebut dijangka akan tersedia kepada pengguna pada bulan ini. Aplikasi Tesla membolehkan pengguna atau pemilik menggunakan Apple Watch sebagai kunci digital. Sebelum ini, fungsi tersebut hanya terhad melalui fon sahaja.
Bukan itu sahaja, melaluinya juga ia membolehkan pengguna untuk mengunci atau membuka kenderaan, memeriksa status bateri, membuka but hadapan dan juga menetapkan kawalan suhu kenderaan.
Selain itu, Tesla turut menawarkan kemas kini lain untuk iPhone yang membolehkan klip Dashcam dan Sentry Mode dilihat secara terus melalui aplikasi Tesla. Pengguna juga boleh menyimpan klip ke telefon untuk tujuan perkongsian atau menyunting.