Seperti yang kita tahu, Google telahpun mengumumkan sistem operasi baru Android XR yang memfokuskan kepada set kepala dan juga cermin mata pintar.
Seiring dengan pengumuman tersebut, Samsung mendedahkan yang mereka sedang membangunkan set kepala dengan Android XR. Set kepala tersebut menggunakan nama kod ‘Project Moohan’ yang membawa maksud ‘Infiniti’ dalam bahasa Korea.
Set kepala ini akan menggunakan rekaan yang ergonomik dan ringan untuk memastikan keselesaan maksimum semasa menggunakannya. Selain itu, ia akan mengabungkan pelbagai teknologi merangkumi Virtual reality (VR), Augmented reality (AR) dan Mixed reality (MR).
Samsung turut menyatakan, set kepala ini akan menawarkan pelbagai kemampuan seperti melakukan pelbagai tugasan dengan bantuan Gemini, menikmati kandungan melalui YouTube dan sebagainya.
Buat masa ini, tiada maklumat lanjut mengenai spesifikasi dan ketersediaan untuk set kepala ini. Namun begitu, peranti ini dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2025.