Close

Proton e.MAS 7 kini boleh dibeli dengan harga bermula RM110K

Kenderaan elektrik (EV) pertama dari Proton iaitu e.MAS 7 kini boleh mula dibeli di Malaysia. Hadir dengan 2 pilihan varian iaitu Proton e.MAS 7 Prime dan Proton e.MAS 7 Premium.

Proton e.MAS 7 hadir dengan motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 160 kW dan 320 Nm. Boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j.

Untuk Proton e.MAS 7 Prime, ia dilengkapi dengan 49.52 kWh dengan jarak gerak 345 km (WLTP). Sementara untuk Proton e.MAS 7 Premium pula dimuatkan dengan bateri 60.22 kWh dengan jarak gerak 410 km (WLTP). Proton e.MAS 7 menggunakan teknologi Aegis Short Blade Battery.

Dari segi pengecasan, kedua-dua varian menyokong pengecasan kuasa DC yang mampu mengecas dari 30% ke 80% dalam masa 20 minit. Yang mana, untuk varian Premium ia menyokong pengecasan lebih pantas iaitu 100kW manakalan varian Prime ia menyokong pengecasan 80kW. Selain itu, kedua-dua varian turut menyokong pengecasan AC pada 11kW.

Untuk varian Prime, ia hadir dengan kemasan dalaman tambahan seperti panoramic sunroof, power tailgate, active grille shutter, 16 pembesar suara, skrin HUD dan lampu kabin dengan RGB. Manakala, dari segi sistem bantu pandu tiada sebarang perbezaan bagi kedua-dua varian.

Untuk harga jualan, Proton e.MAS 7 Prime dijual pada harga RM110K dan Proton e.MAS 7 Premium pula dijual pada harga RM124K. Setiap pembelian akan menerima jaminan selama 6 tahun dan jaminan bateri dan komponen selama 8 tahun atau 160,000 KM.

Selain itu, setiap pembelian akan turut menerima pengecas rumah 7kW (RM1500), pengecas V2L (RM500), data internet tanpa had (RM1800), kadar faedah serendah 1.98% dan rebat tukar beli RM1200 di Carsome.

Proton turut menawarkan rebat sebanyak RM4000 untuk 3000 pembeli terawal, menjadikan harga jualannya RM106K untuk varian Prime dan RM120K untuk varian Premium.

ARTIKEL BERKAITAN