TM mengumumkan kerjasama atau perkongsian strategik dengan Perodua dalam usaha untuk memajukan pembangunan kenderaan elektrik (EV), sekaligus dapat mewujudkan sektor automotif yang bernilai tinggi dan berdaya saing.
Kerjasama ini akan merangkumi 4 bidang strategik iaitu Hyperconnected Network, Advancing Digital Technology, Enriching Customer Experience dan Environmental Sustainability.
TM melalui TM One, akan menawarkan pelbagai penyelesaian antaranya menyasarkan menaik taraf infrastruktur Perodua, menyediakan sambungan tetap dan tanpa wayar termasuk penyelesaian SD-WAN untuk rangkaian peniaga, 5G persendirian untuk aplikasi automotif dan teknologi pembuatan pintar.
Penyelesaian ini dijangka akan dapat meningkatkan keupayaan operasi Perodua dan menambah baik pengurusan data. Selain itu, TM One juga akan turut memanfaatkan keupayaan awan, keselamatan siber, analisis data dan AI untuk inisiatif pembuatan pintar, GPU sebagai Perkhidmatan, EV dan teknologi pemanduan autonomi.
Kerjasama ini turut menumpukan pada kelestarian alam sekitar, termasuklah penyelesaian tenaga bersih untuk infrastruktur pengecasan EV dan pengurangan sisa.
Bukan itu sahaja, TM dan Perodua akan bekerjasama dalam memperluaskan pasaran dan meningkatkan jenama melalui produk bersama dengan strategi pemasaran yang inovatif.