OPPO secara rasmi berkongsi tarikh pelancaran fon lipat mereka yang seterusnya iaitu Find N5 pada 20 Februari ini. Buat pertama kalinya, peranti ini akan diperkenalkan secara serentak untuk pasaran China dan global.

Sebagai rekod, OPPO cenderung untuk memperkenalkan peranti mereka ke pasaran China terlebih dahulu seterusnya ke pasaran global.

Find N5 akan menjadi fon lipat paling nipis di dunia dengan ketebalan kurang daripada 4mm apabila dibuka dan 10mm apabila dilipat. Bukan itu sahaja, Find N5 akan menggunakan binaan titanium untuk menawarkan ketahanan yang lebih baik dan menyokong penarafan IPX8. Sebagai perbandingan, Find N3 tidak menyokong sebarang jenis penafaran kalis air.
Find N5 berkemungkinan akan dilengkapi dengan bateri 6000mAh dan menyokong pengecasan pantas 100W berwayar dan 50W tanpa wayar. Selain itu, peranti ini akan dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite, tetapan tri-kamera belakang dengan sensor 50MP dan menjalankan sistem operasi ColorOS 15 berasaskan Android 15.