OnePlus mungkin akan menggantikan butang ikonik mereka iaitu ‘alert slider’ kepada butang ‘action’ seperti iPhone.

Menurut laporan, OnePlus merancang untuk menggantikan butang alert slider kepada butang action seperti mana yang ditawarkan oleh Apple pada iPhone. Butang tersebut akan dikenali sebagai Rubik’s Cube Key dengan fungsi seperti Action Button pada iPhone 15 dan ke atas.

Rubik’s Cube Key akan menyokong lebih banyak fungsi berdasarkan kepada arahan seperti tekan (press) atau tahan (hold). Contohnya seperti tekan untuk mengawal bunyi notifikasi atau tahan untuk membuka aplikasi kegemaran dan sebagainya.
Selain itu, butang ini mungkin akan menyokong dan membolehkan pengguna menambah atau menetapkan fungsi lain padanya. Buat masa ini, tidak dapat dipastikan bilakah butang ini akan mula digunakan pada peranti OnePlus. Peranti andalan seterusnya iaitu OnePlus 14 mungkin akan menjadi peranti pertama yang akan tiba dengan butang baru ini.