Sekatan penjualan siri iPhone 16 di Indonesia bakal ditamatkan selepas Apple bersetuju untuk memenuhi pelaburan yang ditetapkan.
Menurut laporan, Apple dan Indonesia telah mencapai kata sepakat sekaligus memboleh siri iPhone 16 dijual secara rasmi di negara itu. Sebelum ini, penjualan siri iPhone 16 telah disekat disebabkan kegagalan Apple memenuhi peraturan domestik.
Apple dijangka akan melabur sekitar $1 billion dalam pelbagai projek seperti kilang pembuatan AirTags dan kilang pembuatan aksesori yang akan menyumbang 20% kepada pengeluaran global. Selain itu, Apple akan turut membuka pusat penyelidikan dan pembangunan untuk membolehkan rakyat tempatan menghasilkan produk dan perisian sendiri.
Indonesia dan Apple dijangka akan menandatangani memorandum perjanjian tersebut dalam masa terdekat.