Adobe kini sedia menawarkan aplikasi Photoshop untuk pengguna iPhone. Sebelum ini, aplikasi ini hanya tersedia atau menyokong pengguna iPad sahaja.

Aplikasi ini direka khas untuk peranti mudah alih, membolehkan pengguna untuk menyunting dan menghasilkan kandungan dengan lebih mudah dan efisien. Aplikasi Photoshop ini ditawarkan dengan 2 versi iaitu percuma dan juga berbayar dengan harga langganan RM39.90 sebulan atau RM299.90 setahun.

Untuk versi percuma, ia menyokong beberapa fungsi asas suntingan Spot Healing Brush, Tap Select, layering, masking dan blending. Manakala, untuk versi berbayar ia menyokong lebih banyak fungsi menarik seperti Object Select, Magic Wand, Content-Aware Fill, Clone Stamp, dan Remove Tool.

Aplikasi ini turut menyokong intergrasi dengan aplikasi Creative Cloud seperti Adobe Express, Lightroom dan Fresco, serta menyertakan alat AI yang dikuasakan oleh Adobe Firefly seperti Generative Fill dan Generative Expand.
Adobe akan memperluaskan sokongan aplikasi Photoshop untuk pengguna Android yang dijangka akan tiba pada tahun ini. Bagi yang berminat, boleh muat turun aplikasi Photoshop di sini.